Monday, September 24, 2012

Istikharah

Melangkah ke tahun akhir dikala hampir tamat sesi pengajian di sini, saya seringkali di momok-momok kan dengan perkataan 'istikharah' oleh saudara sahabat seperjuangan. Hingga ketika tersalah sebut depan audien dibuatnya.

“Nta gi la tidur, esok pagi sebelum subuh sempat buat istikhoroh macam semalam…”
“bila pulak semalam ana wat istikhoroh?” saya bertanya  sambil menelan air liur.bingung.
“marin ingat gelap-gelap ana tak nampak nta istikhoroh smbil tersenyum-senyum haa!!?”
“ngarut boh, orang tak istikhoroh sambil senyum-senyum boh, kalu senyum tu isteri-koroh!”

Bilik hidup dengan suasana suara gelak tawa. Kadangkala saya fikir beruntung juga duduk serumah dengan orang tua-tua ni. Boleh melatih kematangan disamping dengar nasihat wasiat orang tua-tua.

Mengenai  Istikharah, rata-rata dari kalangan kita mensinonimkan solat itu dengan solat 'cari jodoh' untuk memilih satu dari calon-calon pilihan hati sebagai bakal suami atau isteri yang baik agamanya sejuk mata memandangnya.

Sebenarnya, ia adalah solat yang sesuai
kepada seseorang yang dilema dalam hajatnya sama ada membawa kabaikan,keburukan, bersesuaian atau bertentangan dengan dirinya, ketika berhadapan dengan urusan yang harus hukumnya.Namun solat ini punyai disiplin. Disiplinnya, hendaklah melapangkan dada dari apa jua kehendak peribadi dan nafsu, kemudian solat dan pintalah. Jadi, apa jua pilihan kita perlu mohon petunjuk-Nya.

Keputusan hendaklah yang berhajat itu melakukannya, bukan hanya duduk menunggu 'bulan jatuh ke riba' melalui petanda-petanda istikharah. Bila ditanya macammana istikharah? “belum mimpi lagi macam mana nak buat keputusan”, “aku tunggu mimpi dulu baru boleh bulat keputusan nak belajar di mana”. Selain mimpi yang menjadi matlamat tidak jelas oleh orang yang beristikharah, mereka jua seharusnya membuat penilaian bersasarkan musyawarah sesama manusia yang mahir dalam bidang mereka.

Bingung mencari pekerjaan, ketemu dengan perunding kerjaya.
Bingung mendepani masa depan, ketemu dengan ulama dan orang yang soleh,
Bingung tentang jodoh, pergi jumpa orang tengah.

 Keputusan juga perlulah berasaskan penilaian dan k
ajian atau meminta pendapat individu yang dipercayai, berintegriti, dan berkemahiran.

Istikharah memohon Allah bersama dalam keputusan yang mahu dibuat, jadi bila mana pilihan yang dibuat, setelah itu datang mehnah yang menguji, kita
tidak akan berfikiran negatif, malah berusaha untuk mencari isi positif. Kita tidak akan menyesal dengan pilihan kita kerana terdapat beribu lagi kelebihan yang diperoleh dari kekurangan yang diterima.

Dalam persimpangan Menagih ilmu

Penghujung tahun 2004, Kelihatan kotak surat hadapan rumah terisi. Sedang berbual bersama bonda di dapur dan menyibukkan diri seperti biasa, saya bingkas mengapai dua surat tawaran menyambung pelajaran di peringkat menengah. Satu tawaran ke Rawang, satu di Kuala Selangor. Pada ketika itu saya berminat untuk ke sebuah sekolah agama di Kuala Selangor.

Namun saya mendapat galakan untuk ke Rawang. Setelah diamati, saya bersetuju juga ke Rawang menyambung kembara ilmu pertama yang penuh rahsia. Dalam persimpangan itu, saya teruskan jalan yang dipilih. Ternyata jalan yang ditetapkan tuhan mempunyai rahsia yang besar. Saya mengenali diri sendiri selama lima tahun di situ. Saya melatih jiwa ini di situ. Saya mula ditarbiyyah di situ.

suasana di Al Qadisiah

Kemudian saya tiba di persimpangan berikutnya. Nampaknya simpangnya makin bercabang. Saya perlukan petunjuk dari Tuhan. Sewaktu qiamullail dahulu imam sujud lama ketika solat hajat di sebuah masjid bernama Al-Qadisiah.

“aku pohon kepadamu, campakkanlah aku ke mana-mana bumi yang akan sentiasa aku mengingatimu” Amin.
“ aku pohon sekiranya inilah waktu yang terbaik untuk aku membuat keputusan ini…” Amin.
“aku pohon ya robb agar diri ini sentiasa tsabat di jalanmu walau dimana aku berada” Amin.

Saya nekad menanam cita yang besar dengan matlamat yang lebar, walaupun dikala itu belum mengetahui adanya cabaran yang lebih besar dan perjalanan yang bukan singkat pastinya. ketika itu mungkin menganggap "Ahh redah sahaja, membujur lalu melintang patah”.

Tanpa duga, saya berada di suatu diantara persimpangan. Sangat berkeinginan mahu menyambung pengajian ke bidang yang diminati, tetapi diri masih tersekat di celah-celahan kuliah Hall 5, berada dalam suasana matapelajaran biologi di sebuah kolej matrikulasi. Mungkin tidak kena dengan selera. Saya mengamati wajah mereka, kadangkala terasa dengki  melihatkan mereka merasai kenikmatan dengan apa yang mereka pelajari sedangkan saya masih memikirkan apakah jalan akademik saya? Maka saya keluar dari fokus sewaktu itu.

“ok student, today we will discuss about the function of plasma membrane…” Sir Shah Jahan memulakan kelas dengan lawak jenaka. Pensyarah yang memiliki gaya yang menceriakan setiap pelajar.

Kelas tamat. Seperti biasa saya bersama dua orang yang biasa berjalan melalui susur utama menuju ke café di atas bukit. Saya melabuhkan diri di sudut bangku yang berada di hujung menghadap ke padang bersama angin kampus yang mengalunkan kalimah tuhan, mencari solusi bersama dua orang rakan yang sentiasa menemani.
“apapun aku akan keluar dari sini, sory nta nta berdua…”
“stay la sini, nanti kita boleh ke u sekali”

Panggilan upu sekali lagi tiba dan saya ditawarkan ke pantai timur. Tuhan memberikan jalan dan peluang sesuai dengan diri yang serba lemah. Allah menjawab istikharah dan permohonan itu. Di ketika itu juga lebih seribu juga rahsia telah saya perolehi dan saya yakin ada lagi beribu rahsia yang masih tersimpan.

Dua tahun setengah telah berlalu dengan maha cepat. Hanya tinggal satu semester yang pendek. Hampir di persimpangan jalan menuntut ilmu ini, saya merasakan saya berhadapan dengan sebuah pintu yang mempunyai puluhan bilangan kunci untuk dibuka. Banyak dan berserabut. Perlu dilagsaikan satu persatu. Perlu mengamati satu demi satu kunci dari gugusan kunci yang diberikan.

Pelbagai soalan berlegar di fikiran, apakah jelas apa yang aku pelajari sepanjang tiga tahun lalu?
Di mana aku selepas ini?
Apakah aku telah benar sempurnakan amanah ilmu dengan sebaiknya?
Adakah dakwah ini bisa saya teruskan dengan baik dan terbaik?
Apakah tanggungjawab itu telah saya lakukan sebaiknya?
Bilakah...?

Serabut. Akhirnya, saya bingkas bangun bersiap diwaktu petang, untuk bertemu dengan satu makhluk Allah. Mencari wasilah mengingati tuhan. Menghidu aroma laut, mendengar mereka bertasbih. Benar, kadangkala kita mendengar lagu, akan menambah serabut di minda. Walaupun lagu tersebut disusun dengan lirik yang cantik dan dialun dengan irama yang menarik. Dek kerana itu lagu tersebut  tiada ruh. Lebih baik mendengar irama laut yang bertasbih, walaupun iramanya tidak tersusun liriknya pula tidak difahami, tapi masih tenang didengari. kerana mereka sedang rancak mengungkapkan tasbih kepada tuhannya!

Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi sentiasa mengucap tasbih
kepada Allah Yang Menguasai (sekalian alam), Yang Maha Suci, Yang Maha
Istikharah di tepian laut. Memandang seluas lautan seakan sayangnya tuhan kepada kita, luasnya tidak bertepi. Gusar, saya hampir tiba di persimpangan untuk menuntut ilmu yang seterusnya. Umur kian bertambah. Sedangkan banyak lagi belum disumbangkan untuk agama ini. Desus diri.

Carilah DIA di setiap pilihanmu

Pagi itu di kelas 3 Gemilang saya masuk buat pertama kalinya sebagai guru ganti di Sk Seri Aman. Seorang demi seorang saya amati wajah mereka. Berkenalan sebagai seorang guru yang berusaha memahami anak muridnya.

“nama saya muadz. Kamu semua boleh panggil ustaz muadz” kelas menjadi riuh. Mungkin moden sangat nama saya.
“ dengar sini, saya boleh jadi cikgu yang paaalinng baik sekali di dunia ni”
“yesss, yeaaa” kelas  menjadi sangat hingar bingar.
“tapi ! saya juga boleh jadi cikgu paling ganas di dunia ni!! Bergantung kepada perangai kamu semua!” sambil menepuk meja. Mengharapkan lakonan menjadi.
kelas bertukar sepi.

Sebilangan dari anak muridku

Kemudian saya teruskan sesi taaruf bersama anak-anak murid saya. Saya bertanyakan cita-cita mereka. Ada yang mahu jadi polis, bomba, askar, doktor. Sama seperti zaman kita kecil dulu.

“alhamdulillah tapi satu saya nak bagi tau kamu semua, paaaaling penting, kamu kena jadi anak yang soleh dan solehah. Kamu tau anak soleh tu apa? Anak soleh tu bukan bapak dia yang bernama soleh” kelas diserikan dengan gelak tawa.

“tapi anak yang baik kepada ibu bapa dan menjadi orang yang berguna kepada orang lain”
“Nak jadi apa pun, kamu kena cari Allah. Cari siapa?!?”
“Allah!!” riuh sekelas. Rupa-rupanya PK HEM sedang memantau saya dari luar.

Kadangkala kita merasakan membuat pilihan adalah suatu perkara yang paling rumit sekali. Manakan tidak ketika kita mahu membuat pilihan, berhajat, mengkehendaki sesuatu,  ada sahaja implikasi yang difikirkan. Sedangkan sebenarnya sesuatu yang dipinta itu bukanlah milik kita. Jadi, Carilah Dia. Semuanya akan berbalik kepada tuhan pencipta segala-galanya. Kita tidak punya apa-apa.

Dalam mewarnai setiap episod kehidupan ini, matlamat perlu jelas. Dari situ akan terbit suatu pilihan yang terbaik. kehidupan ini hanya sementara, moga kita memilih untuk mengemudi kehidupan ini untuk memberikan yang terbaik kepada sekalian makhluk tuhan. sebagaimana Rasulallah membuat pilihan walaupun ada kalanya pahit ditelan.

Dahulu, Abu Tholib pulang setelah dipujuk oleh saudara-saudaranya. Bertemu dengan Rasulallah s.a.w.

“wahai muhammad engkau tinggalkanlah apa yang engkau serukan itu, aku sudah tiada cara lagi untuk kamu” pujuk rayu dari bapa saudaranya. Mendengar ungkapan itu, 
Rasulallah sedih sehingga menitis air matanya. Berat bebanannya yang ditanggung tika mula menyampaikan risalah mulia. Namun nekad, pilihannya kerana Tuhan yang maha agung.

“seandainya diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiri ku, aku tidak akan berhenti sehingga mendapat perintah dari tuhanku...”

Pilihan yang terbaik,
Adakalanya ia pahit.
Itulah sunnah kehidupan.


اللهم صلى على محمد وعلى آله محمد





Tengah hujan
di ruang tamu rumah sewa
2012-09-24
seeru ‘ala barokatillah

Wednesday, September 12, 2012

Urusan Negara

Dalam dua tempat, Britain dan Perancis yang pernah saya pijak tanahnya beberapa tahun lalu, negara Malaysia inilah yang ketika itu saya rindu-rindui. Musimnya satu, Bangsanya berbilang-bilang, makanannya rencam, perspektif rakyatnya jua berbeda-beda. Kalangkala nikmat yang zahir Allah kurniakan untuk saya berada di bumi Malaysia ini membawa saya berfikir tentang apa kira rahsia Allah meletakkan saya sebagai warga dalam negara ini dan memakaikan saya dengan bangsa ini? 

Rasulallah lahir berbangsa Arab yang dalam persekitaran negara yang menduga. Budaya jahiliyyah melata, musimnya panas, airnya sedikit memaksa survival Arab kental dengan persekitaran yang ragas. Tubuh yang besar, selera yang lebar, bangsa yang masyhur dengan perwatakan yang kasar. Maka berbekalkan survival ini, Rasulallah mampu membawa Islam dikalangan bangsa Arab. Hanya mahu mereka dimuliakan kerana deen, bukan kerana bangsa sukuan yang sempit, stratergi yang kemas disusun nabi untuk memerdekakan mereka dari jahiliyyah.

Saya lahir berbangsa Melayu dalam persekitaran negara juga menduga. Budaya jahiliyyah kembali berpencak, musimnya tunggal, nikmat airnya melimpah ruah, orangnya bertubuh kecil sedang-sedang sahaja, bangsa yang masyhur dengan perwatakkan yang lemah lembut, sehingga Siam mahu menyerang pun baginda soltan hadiahi ‘pokok emas pitis pujukan’. Tapi awas berlemah-lembut dan jarang berterus-terang ini, mampu jua mengkhianati dan menzalimi dengan cara tersendiri.

Meskipun persekitarannya perawakkan berbeda, namun cabaran memakmurkannya tetap sama. Kita dilahirkan sebagai apa jua bangsa, waima di negara mana ialah memakmurkan jiwa-jiwa warganya dengan wahyu, membagunkan akal dengan pemikiran intelektual, dan membagunkan peradaban yang telah mati. Kerana dimana kita diletakkan tuhan, disitu kita bertenggungjawab memakmurkannya.

Moga diberkahi seluruhnya.

Di suatu ketika, saya lah manusia yang paling bersemangat untuk menyambut hari kemerdekaan. Suatu pagi 31 ogos 2003, saya memperkemas  tanjak bersama samping bendera malaysia dipakai dalam peragaan murid di sekolah rendah. Saya muncul sebagai peraga terbaik ketegori lelaki. Dan asalkan sajak, pantun berkenaan hari kemerdekaan, sayalah jaguhnya, pernah juga menulis esei hari kemerdekaan menyanjungi pejuang kemerdekaan. Di ketika itu semangat nasionalisma saya tinggi. Saya membayangkan nasib negara kita dijajah sedemikian rupa. Walhal Islam di seluruh dunia dijajah rentetan dari kuasa kolonial.

Begitu jua kisah sebelum terbit sebagai  graduan sekolah, saya antara yang berkobar-kobar menanti detik 12 tengah malam di dataran Raudhah. Setelah detik itu tiba, laungan merdeka oleh Ustaz Kamilen dan Laungan Azan oleh Ustaz Mustafa. Ironi kepada laungan azan menandakan bukan lagi kita dikelurkan dari kelompangan Jahiliah, ia juga seolah suatu tanda permulaan kepada "rahmatal lil 'alamin" yang diidami.

 Pengorbanan pejuang negara pejuang jua kita sanjung hormat, baik yang berhaluan kanan, lebih-lebih lagi yang berhaluan kiri yang dipadamkan sumbangannya dalam buku teks. Begitu jua dengan peranan tokoh ulama pejuang era awal penjajahan yang syahid, dalam mempertahankan prinsip dalam tanah air ini. Cuma yang kita cemuh cemuhkan yang tiada berhaluan, ikut saja telunjuk kepala penjajah.

Penghargaan buat semua pejuang agama dan tanah air yang tulus moga Allah kurniakan pahala syahid dan dapat bersama Saidina Jaafar, Saidina Hamzah di sana.

IDENTITI YANG MATI

Perubahan yang dijanjikan kuasa kolonial merupakan satu detik kematian buat sebuah identiti. Lihat sahaja ketika ’ Turki baru’ diwujudkan delapan puluh tahun lalu, laungan  ‘westernisation of education system’ diperkenal. Tulisan ala-ala arab dibuang dan tulisan Latin diperkenal, penjajah perkenalkan wakil nya memerintah, di sebelah PBB pula mengiktiraf negara haram Israel, penjajahan ini bukan hanya berlaku di negara turki, ia berlaku di semua negara yang mempunyai ala-ala satu identiti. Tulisan jawi dibuang, masyarakat kita juga dibekalkan dengan tradisi “malay in blood and skin but english in style”.  Mereka bijak meninggalkan warisan.

Saya tidak sama sekali mahu mencemuh bangsa Inggeris. Mereka jua punyai peradaban yang baik dan gaya profesionalisma yang tinggi. Saya pernah memuji profesional bangsa inggeris di entri saya.

Soal pembangunan sebuah identiti adalah suatu yang sangat payah. Mahu kembalikan tulisan jawi sepenuhnya hampir kepada mustahil kecuali revolusi politik secara maha besar.  Mahu kembalikan tradisi ilmu, hiburan ilmu, politik ilmu perlu kepada satu pengorbanan jiwa yang sanggup dicemuh. Banyak jiwa telah bertindak untuk mengembalikan semula identiti yang hilang itu. Badiuzzaman said nursi, Hassan Al Banna, Kiyai Haji Abdul Malik Karim Amrullah, Burhanuddin Helmy, Kaum muda, mereka dicemuh. Mereka bergerak untuk mengembalikan semula kebanggaan yang telah hilang. Identiti Ummat Islam.

pernah menjadi identiti kita

Nasib kita umat Muhammad di seluruh dunia serupa. Dimatikan identiti. Tidak seperti bangsa Jepun yang masih kekal dengan hiragana dan katagana-nya. Tidak juga seperti gergasi China yang terkenal dengan buku “the art of war” karya Tsu Zu. Hasil kematian identiti itu, perkara yang dibawa penjajah yang dimaki-maki  itu, masih lagi dibawa hingga ke acara perdana. Usah salahkan anak muda lebih barat dari barat. Bak kata opah saya, “bagaimana acuan begitulah kuihnya”.

Kini identiti asal itu mungkin sudah dianggap tardisionalis. Keunikkan identiti bangsa saya rasa wajar dipertahan walaupun ia bukan lauk utama masyarakat kini. Rakyat mahupun pemimpin amnya. Namun Identiti sebagai ummat 'rahmatan lil 'alamin' dibawah payungan sebuah negara amat perlu. Identiti yang dibawa Rasulallah, Sahabat, Para salafuss soleh hingga pemimpin kontemporor, Fathullah Gulen dan yg dikenali kini.

MASA UNTUK BERLARI

Rakyat Malaysia, pucuk pimpinnannya, anak mudanya, rakyatnya perlu terus berlari. Mendepani isu dan cabaran massa. Profesional dalam tindakan, menyantuni adat dan budaya orang lain, menerima baik kehidupan rencam bangsa kerana sengaja Allah menciptakan kita berbangsa-bangsa untuk berkenal mesra. Hidupkan sebuah Malaysia berkat, berkebajikan dan keadilan. Kerana bumi Allah ini adalah untuk sekalian Makhluknya.

Justeru membawa kita kepada  suatu  tindakan yang sewajarnya kita lakukan. Bagaimana mahu kita menyumbang tenaga, fikiran agar keberhasilannya kita dapat lihat orang india, cina dan melayu memahami prinsip Islam yang menyeluruh. Kini bukan di zaman orang memahami islam itu hanya sekadar, masjid, berkopiah, berjubah, berbaju melayu, bersongkok bersamping.

Kita mahu menyaksikan orang melihat islam itu, pemimpinnya bentindak amanah dan cekap dalam urusan tadbir urus negara, kritis dalam perjalanan ekonomi, hebat dalam pengurusan, hebat dalam berbahasa asing, matang dalam berpolitik, adil dan bijak mengurus undang-undang, subur dengan budaya ilmu.

Alatan mungkin terhad bagi orang yang melihat simpang dakwah itu kecil. Bagi yang optimis dan berjiwa pendakwah, ruang peluang sentiasa besar, sebesar cabarannya.

Walau diri masih tidak sempurna dan tidak akan sempurna kerana dosa yang pasti kita lakukan, tugas kita tak sama sekali terangkat dari senarai kewajipan kita. Malah pada waktu kita tersilap atau melakukan kesalahan. Kita masih bertanggungjawab merealisasi 'amr markuf nahyu munkar'.

Merdeka & Hari Malaysia

“ Barangsiapa yang mahu selamat, hendaklah bersembunyi di rumah ibadat, atau di rumah masing-masing, atau di rumah Abu Sufyan!”. Laungan pengumuman sekitar kota mekah. Pembukaan tidak diketahui nasib sama ada meneruskan tradisi lama atau membawa nafas baru negeri mekah. Baginda Rasulallah dari Madinah bersama empat penjuru. Khalid, Saad, bersama sahabat lain sedia di posisi. Kemerdekaan Kota Mekah berlaku aman. Berhala dimusnahkan tanda kebebasan dari jahiliah. Kota Mekah dibuka Merdeka. 

Rakyat Makkah aman dizaman itu dibawah tokoh kemerdekaannya Muhammad.
Allah menjadikan Nabi-Nya mampu menguasai Jazirah arab, sehingga mereka pun merasa aman dan tidak lagi sentiasa dalam keadaan ketakutan. Kemudian setelah Allah mewafatkan Nabi-Nya, mereka tetap merasa aman di bawah pemerintahan Abu Bakar, Umar dan Ustman...” (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil. 6, m/s. 431-432) 

Malaysia bersaiz 329847 km persegi, lebih 60.3% Muslim yang berbangsa Melayu, Cina, dan India. Alangkah bahagia kira-kira jumlah ini menjadi agen 'rahmatan lil 'alamin', menjadi rujukan terhadap isu besar, menjadi panduan dan didikan kepada mereka yang masih belum memahami. Sayang seribu kali sayang jika kita pernah berkawan duduk sebumbung dengan non-muslim selama 55 tahun, namun mereka masih belum memahami, masih prejudis, masih salah faham terhadap cara hidup dan prinsip kita. Sayang lagi seandainya kita bertindak meyokong prejudis, pesimis, dan menambah salah faham mereka terhadap kita. Menutup pintu dakwah, mengecilkan skop minda, mencetuskan provokasi agama seperti memijak kepala lembu, fatwa RM 2 juta. Usah dimarahi orang yang meletakkan kepala babi di masjid.

Kestabilan sesebuah negara bermula dari individu,keluarga, masyarakat dan kepimpinan. Mencorakkan acuan ini adalah pemimpin. Rakyat yang baik dari pemimpin yang baik. Punah pemimpin, negara tidak akan berakhlak. Saya bersyukur dipakaikan dengan bangsa yang sementara ini namun andai saya di China dan dipakaikan dengan pakaian bangsa Tionghua sekalipun saya mengharapkan agar saya tergolong dalam kalangan Muslim dan menjadi agen 'rahamtan lil 'alamin. Itu satu kebanggaan hakiki. Malaysia sebagai negeri yang Allah letakkan kita, bangsanya pakaian kita. apa yang utama deen yang menyatukan kita.


Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba` satu tanda,
 terletak di sebelah kanan dan disebelah kiri (kebun mereka).
"Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya
 Negeri yang baik (aman dan makmur) dan  Tuhan yang Maha Pengampun!"

Sebagai seorang warganegara Malaysia yang mempunyai mykad yang sah, saya mengimpikan agar negara ini terus berkembang pesat dengan pembagunan zahiriah dan lahiriah, manusiawi dan bertamadun, seiring dengan apa yang dihajati oleh rakyat di bawahnya. Kerana Negara ini bukan milik jemaah menteri. Berdoa agar demografi, geografi, pemerintahan, mendapat rahmat dan berkat dan kembali kepada fitrah.

Umpama sebuah pohon.  Akarnya akidah, kebenaran dan keadilan, Batangnya cara hidup yang bertamadun, Rantingnya pemimpin-pemimpin yang adil dan berwibawa, buahnya manis dan ranum dengan akhlak dan maruah, daunnya lebat dengan ilmu dan akal perdebatan  berentak fakta, pucuknya anak-anak muda yang segar dengan keimanan. Diredhai dan dipelihara oleh tuan empunya dunia.

Negara makmur yang diredhai, mendapat keampunan ilahi !

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-55. 31 Ogos.
Selamat menyambut Hari Malaysia 16 September.




ruang tamu rumah sewa
12 september 2012
titp doa buat pejuang agama dan negara
sama ada masih hidup mahupun sudah tiada
doa negara kita senantiasa dipimpin oleh tangan amanah